" Kebajikan Jana Akhirat Bahagia.."

Tuesday, April 13, 2010

"Bacalah Isu Palestin..."

Sering kali kita dimomok-momokkan bahawa masalah Palestin mesti diselesaikan oleh negara Arab kerana Palestin adalah natijah dari kegagalan dan kemandulan negara Arab menyelesaikan masalah dengan negara haram Yahudi.

Palestin diduduki oleh bangsa Arab dan Palestin berperang dengan Yahudi, jadi ia adalah konflik di antara Arab dan Yahudi. Selain itu, perjuangan membebaskan bumi Palestin dilihat sebagai perjuangan bangsa Arab mempertahankan tanah air mereka dari pencerobohan rejim Yahudi.

Ahli PERMAI yang dikasihi kerana Allah,

Sedar tak sedar , Isu Palestin bukan isu rakyat Palestin. Isu Palestin adalah isu Aqidah umat Islam seperti yang telah dikupas secara jelas oleh Syeikh Prof. Dr. Yusof Qardhawi dalam sebuah bukunya. Isu KITA – ahli PERMAI . Ulama Islam sepakat menggesa seluruh umat Islam turut serta membantu rakyat Palestin dengan apa sahaja keupayaan yang ada.

Dalam ruangan ini, ingin saya kongsi kepada pembaca tentang ucapan Syeikh Abu Bakar yang hadir pada bulan Ramadhan yang lepas ke Malaysia, dalam rangka lawatan ke Malaysia dengan beberapa siri ceramah dan penerangan di masjid dan surau sempena program “Ramadhan Bersama Ulama Palestin” yang dikendalikan oleh Biro HALUAN Palestin dengan kerjasama Bahagian KESUMA, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM.)

Beliau adalah Penasihat Kanan Rabithah Ulama Palestin, pernah 6 kali terperosok di penjara Israel. Beliau di tangkap atas tuduhan mengajar pemuda-pemuda Palestin tentang Islam. Di penjara Israel, beliau telah disiksa sehingga menyebabkan beliau buta. Beliau telah 13 kali keluar-masuk penjara Israel. Matanya buta setelah berhari-hari dipukul di penjara dan dikenakan renjatan elektrik ketika pertama kali beliau ditangkap dan disiksa selama 53 hari tanpa henti.

“Al-Aqsa adalah bukan hanya milik umat Palestin atau ummat Arab, tetapi ia adalah milik umat Islam seluruh dunia. Ummat Islam wajib berusaha dan berjihad untuk membebaskannya dari cengkaman musuh-musuhnya seperti apa yang berlaku pada hari ini.

Al-Aqsa telahpun diwariskan kepada umat Islam oleh Khalifah Islam yg kedua iaitu Syaidina Umar Al-Khattab kemudian oleh Panglima Sallehuddin Al-Ayubi setelah beliau dapat membebaskan kembali Al-Aqsa dari tentera Salibi. Umat Islam di Palestin telah mendapat amanah untuk mempertahankan Al-Aqsa sejak dari Sultan Abdul Hamid ke-2,setelah beliau diturunkan dari tahtanya dalam tahun 1927.”

“Al-Aqsa adalah kiblat pertama ummat Islam seluruh dunia, Al-Aqsa adalah penghubung bumi dan langit, Al-Aqsa adalah tempat yang diberkahi oleh Allah seperti di dalam surah Al-Isra’:1, Palestin adalah tempat lahir, tempat jihad dan semadinya Rasul-rasul dari kalangan Bani Israel, Al-Aqsa adalah masjid ketiga suci di dalam Islam setelah Masjid Al Haram dan Masjid An Nabawi, Al-Aqsa adalah tempat di mana baginda Nabi SAW mengimami Rasul-rasul yang lain yang menandakan berlakunya perubahan kepimpinan dunia dari Bani Israel kepada Umat Islam.”

Saudara-saudari yang dikasihi,

Umat Islam di Palestin telahpun berjihad mempertahankan Al-Aqsa dengan harta, kehormatan dan nyawa. Allah akan tanya ummat Islam seluruh dunia apakah yang telah mereka lakukan untuk membebaskan Al-Aqsa. Doa juga adalah satu bentuk jihad, berdoalah untuk membebaskan Al-Aqsa dan Palestin….”

Beliau juga mengingatkan kepada muslimah di Malaysia bahawa Muslimah di Palestin telah berpesan kepada mereka bahawa mereka telah rela mengorbankan suami-suami dan anak-anak lelaki mereka demi mempertahankan Gaza dan Al-Aqsa serta Palestin. Apakah yang telah dilakukan oleh muslimah di Malaysia? Sungguh Allah akan mempersoalkan mereka.

“Persoalannya kepada anda wahai para wanita di Malaysia, apakah sumbangan anda? Apa yang akan anda jawab di hadapan Allah SWT di Akhirat nanti, dalam usaha membantu perjuangan Islam di Palestin?,” sambung beliau.

Ahli PERMAI yang diredhai Allah,

Jika kita muhasabah kembali diri kita disini. Mereka tidak jauh dari kita. Hanya beberapa jam dari Irbid , kita mampu sampai ke sana. Tatkala, kita begitu kesejukan didalam hiram dan alat pemanas, mereka berteduh tanpa bumbung. Tatkala kita kekenyangan dan berlebihan hingga membazir, pasir-pasir serta sisa makanan menjadi menu utama.

Tatkala kita berlebihan menghiasi rumah dan berlebihan menghiasi diri, mereka hanya mampu melihat rumah diruntuhkan tanpa berbuat apa-apa. Tatkala kita sibuk mennghabiskan masa dengan Facebook dan game, mereka sibuk memikirkan cara untuk melawan Zionis dan Israel.

Suka saya berkongsi sedikit maklumat yang disampaikan oleh seorang jurucakap kanan kepada kerajaan Palestin di Gaza, Dr Sami Abu Zuhri, bersama seorang lagi pejuang Palestin Ahmad Husein Abu Husam yang sempat singgah di negara kita untuk menceritakan apa yang telah berlaku di Gaza dan Palestin secara umumnya.

“Matlamat kami adalah untuk mencapai kemenangan atau Syahid di jalan Allah SWT. Sebagaimana kami tegaskan sebelum ini. Kami akan terus dengan perjuangan ini. Maka kami berharap anda sekelian juga terus dalam perjuangan ini. InsyaAllah kemenangan akan bersama dengan Islam.” Itulah ayat terakhir Dr Sami dalam syarahannya.

Sebagai memenuhi permintaan kepada satu nasihat, Ahmad Husein menjawab, “Anda mempunyai peranan yang besar.

Pertamanya gunakanlah suara anda, nyatakan sikap dan fakta yang betul berkenaan perjuangan di Palestin. Juga, hulurkanlah doa terutamanya di waktu malam. Doa adalah senjata untuk orang Mukmin. Kemudiannya, sumbangkanlah sedikit dari harta anda. Gaza memerlukan wang yang banyak untuk dibangunkan semula.”

Ya! Kita ada peranan yang besar, walaupun tanpa perlu mengangkat kaki melangkah ke bumi Palestin. Lakukanlah saranan itu semaksima yang boleh, agar kita tergolong dari kalangan mereka yang berjuang mempertahankan bumi Palestin, bumi wakaf umat Islam yang ditinggalkan oleh pejuang terdahulu untuk kita bebaskan dari kekejaman. Yakinlah, yakinlah, bahawa kita semua akan disoal di akhirat kelak. Rugilah kita jika hanya mendengar dan melihat tanpa disusuli dengan tindakan yang bersungguh-sungguh!

Renungkanlah ayat berikut sebagai amaran dan motivasi kepada kita:

“Dan infaqkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang daripada kamu; lalu dia berkata (menyesali), ‘Ya Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda (kematian)ku sedikit waktu lagi, maka aku dapat bersedeqah dan aku termasuk orang-orang yang soleh.’” [Surah Al-Munaafiqun ayat ke-10]

Ayuh ahli PERMAI,

Bersempena dengan KEMPEN MEMBACA PERMAI 09/10 di musim cuti semester 1, tingkatkanlah PEDULI kita terhadap Isu Palestin. Bermula dengan apa?
Bermula dengan MEMBACA isu-isu Palestin.

Insyallah, di situ akan terbit didalam hati kita usaha-usaha yang boleh kita bantu. Di sini ana sertakan beberapa laman web yang sesuai untuk dibaca berkaitan dengan Isu Palestin.

http://haluanpalestin.haluan.org.my/

http://palestinkini.info/

http://www.amanpalestin.net/

http://www.vivapalestina.org/

“Bacalah,wawasanmu pasti tercapai!”

Wallahu`alam.

Muhammad Sahel Bin Nordin
Pelajar Ekonomi Islam dan Perbankan Islam
Tahun 2, Universiti Yarmouk.

~akhi-rakhaiz


*Nukilan Buat Ahli Persatuan Mahasiswa Malaysia IRBID, Jordan (PERMAI) , Seluruh Ummat Islam Di Malaysia & Seluruh Dunia ...

No comments:

Post a Comment