" Kebajikan Jana Akhirat Bahagia.."

Monday, May 11, 2009

Penubuhan Badan Kebajikan Keluarga Marwan Temerloh Pahang (BAKKEM)

Badan Kebajikan Keluarga Marwan Temerloh Pahang atau singkatannya BAKKEM adalah gabungan dua nama Ayahanda dan Bonda kami iaitu MAR adalah ringkasan bagi Mamat Abdul Rahman dan WAN pula adalah Wan Yah Wan Nik maka terhasillah 'Marwan' yang membawa maksud bermaruah dan harum.

Setelah kepulangan Ayahanda kami yang tercinta ke Rahmatullah pada hari Isnin, 11 Februari 2008 bersamaan 4 Safar 1429H,kami seramai 6 beradik (2 lelaki 4 perempuan) telah bermesyuarat bersama Bonda kami yang tersayang dan 6 orang ipar-duai untuk menubuhkan satu pertubuhan yang berperanan sebagai institusi amal jariah yang menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan berteraskan ajaran Agama Islam secara berterusan demi memastikan golongan yang memerlukan bantuan di kalangan masyarakat Islam , mendapat pembelaan yang sewajarnya dan kami berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang gemar bersedekah dan saling bantu-membantu di antara satu sama lain.

Selain itu, kami telah sepakat untuk niatkan di hati dengan tulus ikhlas ke Hadrat Allah S.W.T agar ganjaran kebaikan dan pahala hasil sedekah jariah serta amal kebajikan yang kami lakukan ditujukan dan dikongsi bersama Allahyarham Ayahanda kami dan ahli-ahli serta keluarga ahli BAKKEM yang telah meninggal dunia..

Di awal perbincangan, kami telah bersetuju untuk memilih nama pertubuhan ini sebagai Badan Kebajikan Bilal Temerloh atau singkatannya BAKEB. Nama 'BILAL' diambil bersempena gelaran kepada Allahyarham Ayahanda kami semasa hayatnya yang merupakan bekas imam dan Khatib di kampung halaman kami iaitu Kampung Paya Keladan,28020 Temerloh Pahang Darul Makmur.

Nama yang telah disepakati tersebut tidak dapat didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 kerana telah digunakan oleh pihak lain.Setelah bemesyuarat kami telah memilih Badan Kebajikan Keluarga Marwan Temerloh Pahang atau singkatannya BAKKEM sebagai nama rasmi pertubuhan kami dengan dipersetujui oleh pihak Pendaftar Pertubuhan pada 28 Ogos 2008.


Logo BAKKEM seperti yang tertera di atas berbentuk syiling emas dinar telah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Kali Pertama BAKKEM yang telah diadakan pada 23 November 2008 (Sabtu) dan logo tersebut telah diterima dan disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan untuk digunakan oleh pihak kami.

Mesyuarat yang telah diadakan pada 31 Mei 2008 telah meluluskan Baitul Marwan iaitu Rumah Peninggalan Allahyarham Ayahanda kami di Kampung Paya Keladan, 28020 Temerloh Pahang sebagai Pusat Gerakan BAKKEM manakala N0.52, Tingkat 1, Jalan Ahmad Shah 1,28000 Temerloh Pahang Darul Makmur bagi urusan surat-menyurat BAKKEM.

No comments:

Post a Comment