Terlebih dahulu marilah kita sama-sama membaca surah al-Fatihah dan diniatkan pahalanya untuk Allahyarham Ayahanda, Tuan Haji Mamat Bin Abdul Rahman. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa. Al-Fatihah...
Kegigihan, ketekunan, kesabaran, kekuatan jiwa, konsisten, komited ... itulah di antara sifat Allahyarham dalam meneruskan hidupnya sebagai Hamba Allah dan Pejuang Islam. Kesanggupan beliau merantau dari tempat kelahirannya di Kelantan ke Pahang bersama-sama Bonda demi melihat kehidupan mereka bertambah baik merupakan titik tolak kepada kejayaan yang sedang dinikmati oleh anak-anak mereka sekarang.
Beliau seorang yang sangat menitikberatkan pendidikan Islam kepada anak-anaknya. Kami dididik untuk mengenal Ilahi sejak dari kecil lagi. Beliau bersama Bonda mengajar sendiri anak-anak mereka mengaji al-Quran. Alhamdulillah semua anak-anak mereka berjaya dalam bidang agama.
Ketokohan beliau bukan hanya di dalam keluarga tetapi turut diiktiraf oleh masyarakat seperti pernah dilantik memegang jawatan Siak, Bilal, Imam, Khatib, Amil Fitrah, Pengerusi Badan Khairat Kematian dan beberapa jawatan lain. Beliau sangat disegani serta dihormati oleh masyarakat di dalam dan luar kampung dan dikenali oleh kawan-kawan seperjuangan beliau dengan gelaran Tok Ayah.
Beliau selalu berpesan agar menjaga solat kepada anak cucunya. Walaupun di akhir-akhir hayatnya beliau tidak dapat berjalan tetapi beliau tidak pernah lalai daripada solat dan menunaikannya sama ada di dalam keadaan duduk atau berbaring. Bibir beliau sentiasa basah dengan zikrullah dan temannya di tangan adalah tasbih.
Kehilangan beliau sangat dirasai kami sekeluarga. Tidak puas rasanya untuk menjaga beliau lagi, namun apakan daya Tuhan lebih menyayanginya. Tanggal 4 Safar 1429 bersamaan 11 Februari 2008 pada hari Isnin dalam waktu Asar perginya insan yang sangat dihormati ke rahmatullah dalam keadaan yang sangat tenang diiringi cahaya pada wajahnya dan mulutnya sempat mengucapkan kalimah suci. Kepulangan jenazahnya ke rumah dari Hospital Temerloh diiringi hujan rahmat seolah-olah alam ini sedang menangisi pemergian beliau menambahkan lagi keyakinan bahawa perginya dalam keadaan yang sangat baik.
Walaupun lebih 1 tahun 3 bulan pulangnya ke Rahmatullah namun nama beliau masih disebut-sebut terutamanya oleh penduduk kampung. Buktinya apabila ada majlis-majlis anjuran BAKKEM, nama 'Pok Su Mat' masih lagi disebut mungkin ianya juga petanda bahawa kewujudan pertubuhan ini sebenarnya membawa rahmat kepada beliau di alam sana... Insya Allah.
Tiada lain yang diharapkan untuk Ayahanda tercinta melainkan Semoga dirahmati Allah selama-lamanya. Kami di sini akan sedaya upaya menunaikan semua hasratnya, tetap menyambung perjuangannya serta akan mengembirakannya sentiasa insya Allah.
" Ya Allah ampunilah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia, muliakanlah tempat tinggalnya, luaskanlah kuburnya, jadikanlah kuburnya daripada taman-taman syurga, selamatkanlah dia daripada sebarang azab" amin Ya Rabbal 'Alamin.
nukilan Keluarga Marwan.
No comments:
Post a Comment