" Kebajikan Jana Akhirat Bahagia.."

Sunday, March 21, 2010

"Saat-saat Kematian..."

  • KEMATIAN SEORANG PEMAKSIAT
Seorang lelaki telah terlibat dengan kemalangan. Datang seorang lelaki yang lain mendapatinya dia dalam keadaan nazak. Lalu diajar mengucap dua kalimah syahadah tetapi jawapannya:

“AKU DALAM SAQAR, AKU DALAM SAQAR…” dan terus mati.

Lalu lelaki tadi bertanya kepada ahli keluarga si mati tentang si mati. Mereka menjawab “ Dia tidak sembahyang.”

Benarlah Firman Allah swt:


مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ


"Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)?" Mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan shalat.” (42 – 43 : al-Muddathir)

Ulasan: Oleh itu kepada pemaksiat-pemaksiat tegar ,bertaubatlah. Walaupun dosa kecil seperti chatting , sembang antara lelaki perempuan, tetapi ia boleh membawa kepada dosa besar.

Ulama berkata:

لا صغيرة مع الإصرار Bukannya dosa kecil lagi kalau dah buat selalu...
Ada dua orang yang nazak masih menyanyi walau diajar mengucap di Arab Saudi Mahu ke kita mati sewaktu sedang bergayut antara lelaki dan perempuan?

  • KEMATIAN SYEIKH KANDAHKLAWI

Pada malam kematian seorang ulama hadis Muhaddis, Muhammad Ilyas al-Kandahlawi bertanya kepada para hadirin “Adakah hari ini hari khamis?” Mereka menjawab “Ya” Beliau bertanya lagi “ Cuba kamu lihat pakaianku adakah ia bernajis?” Mereka menjawab “ Ianya bersih.” Lalu beliau pun turun dari katil, berwuduk dan solat isya berjemaah di dalam bilik. Beliau berwasiat kepada hadirin supaya memperbanyakkan doa . Beliau berkata:


ليكونن اليوم عندي أناس يميزون بين فعل الشيطان وفعل ملائكة الرحمن


“Hendaklah pada hari ini orang-orang yang berada di sisiku orang-orang yang dapat membezakan di antara perbuatan syaitan dan perbuatan malaikat.”

Pada tengah malam, dalam keadaan tidur-tidur ayam, beliau sentiasa mengucapkan "Allahu Akbar."

Ketika waktu sahur, beliau meminta anaknya Muhammad Yusuf datang. Beliau berkata kepada anaknya:

“Marilah duduk bersamaku hai Yusuf, aku tidak dapat hidup selepas malam ini dan aku akan pergi berangkat.”

Akhirnya beliau meninggal dunia sebelum Azan subuh pada malam tersebut. Ia adalah pada 21 Rejab 1363 hijrah.

  • AKIBAT SUKA BERBOHONG DALAM CERAMAH

Abul Fath Muhammad bin Muhammad bin Ali al-Harimi (tahun 514 h) seorang pemberi kuliah, nasihat dan tazkirah yang sangat sedap penyampaiannya. Namun banyak yang disampaikan itu perkara yang salah dan bohong. Ketika dia hampir mati, dia telah mengerang sakit yang amat sangat. Lalu ada yang berkata kepadanya “Berjumpa memang amat sukar.” Lalu as-Safdi berkata:


لا سيما قادم يكذب على الله تعالى وعلى جبريل


“Lebih-lebih lagi orang yang berjumpa Allah itu berbohong atas nama Allah dan Jibril as.”

Ulasan: Bentuk-bentuk pembohongan yang biasa dalam tazkirah dan kuliah agama yang amat berleluluasa sekarang adalah:

1. Mengeluar hukum sendiri .


2. Berkata dosa dan pahala tanpa merujuk sumber ulama muktabar.(contohnya berita dlm surat khabar)


3. Mentafsirkan ayat atau hadis ikut kefahaman sendiri tanpa merujuk tafsiran ulama muktabar.


4. Menukilkan hukum dengan syak. (contohnya "saya rasa..", ..."agaknya boleh kot...")


5. Menyatakan pandangan agama dalam semua aspek mengikut fikiran sendiri.


  • AKU BERSEDIA SEJAK 50 TAHUN

Diceritakan bahawa Malaikat Maut datang kepada seorang lelaki soleh untuk mencabut nyawanya. Lalu lelaki itu berkata:


مرحبا أنا والله منذ خمسين سنة أتأهب لك


"Selamat datang , demi Allah aku menanti bersedia untuk menemuimu sejak 50 tahun lepas.”

  • PESANAN TERAKHIR SAIDINA ALI
Suatu hari Hasan cucu Nabi SAW bertemu dengan ayahnya Saidina Ali RA yang sedang nazak menyebabkan Hasan mengeluh. Ayahnya pun berkata “ Adakah engkau mengeluh?” Lalu Hasan menjawab “Wahai Amirul Mukminin bagaimana aku tidak mengeluh sedangkan ini adalah hari terakhir mu di dunia dan hari terawal mu diAkhirat.” Saidina Ali RA pun berpesan:


ألا أعلمك أربع كلمات إن حفظتهن ففيهن غناء الدهر وإن ضيعتهن ففيهن فقر الأبد؟ يا بني لا غناء مثل العقل ولا فقر أشد من الجهل ولا وحشة أشد من العجب ولا أنس مثل حسن الخلق


“ Adakah engkau hendak aku ajarkan empat ayat yang mana jika engkau menjaganya pasti engkau akan kaya selamanya dan sekiranya engkau sesiakannya pasti engkau akan faqir selamanya? Wahai anak ku tidak ada perkara yang lebih mengayakan dari akal fikiran dan tidak ada yang memfakirkan lebih dari kejahilan. Tidak ada yang lebih menggelisahkan dari sifat perasan(rasa hebat) dan tidak ada yang menyeronokkan lebih dari akhlak yang baik.”

  • SYEIKH AHMAD YASIN : KAMI MENUJU KE ARAH SYAHADAH (MATI DI JALAN ALLAH)

Anaknya Muhammad telah menceritakan bahawa tiga jam sebelum serangan ke atas beliau, beliau telah memaklumkan kepadanya terdapat pesawat peninjau kepunyaan Israel di udara. Namun bapanya membalas:


نحن نسعى إلى الشهادة وإنا لله وإنا إليه راجعون


“Kami menuju kepada syahadah , kami berasal dari Allah dan akan kembali pada Allah.”

Beliau adalah pengasas kepada gerakan HAMAS di Palestin. Ketika beliau hendak menunaikan solat subuh berjemaah di masjid (beliau yang buta dan lumpuh) , pihak tentera Israel telah membunuhnya melalui serangan udara. Ini berlaku pada bulan Safar 1425 hijrah.

Ulasan: Syeikh yang sudah tua, buta dan lumpuh, namun bersemangat untuk solat subuh berjemaah di masjid. Namun mahasiswa-mahasiswa islam hanya sedikit sahaja yg mampu ke masjid dan memenuhi saf hadapan. Kerana apa? Kerana pemuda-pemuda sekarang sudah tua imannya, buta hatinya dan lumpuh amalannya. Lebih menyedihkan, orang yang tidak mampu berada di saf hadapan pada waktu subuh ini adalah orang yang bercakap dan bekerja utk Islam. Apa tujuan mereka sebenarnya?

KESIMPULAN

Marilah bersama merenung bagaimana saat akhir kematian kita. Inilah persediaan yang perlu kita buat. Segala apa yang kita rancang di dunia adalah perkara yang tidak pasti, tidak kira urusan belajar, kerjaya, perkahwinan, sukan dan lain-lain. Yang pasti kita akan mati. Oleh itu marilah kita sama-sama menginsafi diri dan kembali kepada Allah. Masanya belum terlambat selagi nyawa belum sampai ke leher. Janganlah bertangguh kerana kita tidak tahu bila saat kita dicabut nyawa.

~akhisalman~idhamlim~

No comments:

Post a Comment