" Kebajikan Jana Akhirat Bahagia.."

Friday, October 09, 2009

"Keadilan & Kesatuan~Prinsip Pemerintahan Rasulullah SAW.."

Islam mempunyai kerajaan sendiri diketuai Nabi Muhammad yang bertempat di Yathrib (Madinah al-Munawwarah).

Baginda ketua yang amanah, adil lagi bijaksana. Kita membaca sejarahnya memperbaiki hubungan golongan Ansar (antara kaum Aus dan Khazraj), mempersaudarakan antara golongan Ansar dan Muhajirin (imigran dari Mekah) dan tidak dilupa menjalin persahabatan dengan Yahudi Yathrib (Madinah).

Walaupun Baginda mempunyai kekuatan dari sudut ketenteraan, ekonomi dan sebagainya, Baginda tidak sewenang-wenangnya menggunakan kekuasaan tersebut untuk bertindak zalim, menindas atau memaksa mereka memeluk agama Islam.

Piagam Madinah menyentuh soal kaum bukan Islam

Dalam Piagam Madinah, Nabi Muhammad SAW mengambil pendekatan perjanjian dalam mewujudkan kesatuan dan perpaduan dengan kaum Yahudi.

Antara isi perjanjian, adalah wajib bagi semua orang Islam untuk membantu dan bersimpati kepada seorang Yahudi yang membuat perjanjian dengan Islam. Jangan sekali-kali melakukan kezaliman ke atas mereka.

Manakala, tiada seorang pun orang bukan Islam di dalam perjanjian tersebut, menyediakan perlindungan kepada kehidupan dan harta milik seseorang Quraisy atau membantu seseorang bukan Islam menentang Islam.

Setiap puak samada Islam atau yahudi (di dalam perjanjian tersebut) hendaklah mematuhi kepada agama masing-masing. (Mengecualikan perkara keagamaan, orang Islam dan Yahudi hendaklah dianggap satu parti.) Jika terdapat di kalangan mereka yang melakukan penghinaan, marah, melanggar perjanjian atau bersalah atas sesuatu jenayah, ia layak menerima hukuman atas kesalahan yang telah dilakukan.

Sekiranya pihak ketiga melancarkan peperangan ke atas orang Islam dan Yahudi, mereka akan memeranginya secara bersatu, saling membantu, bersangka baik dan mentaati. Perbelanjaan akan ditanggung sendiri..

Bagaimanapun, akhirnya mereka terusir dari Madinah kerana mereka sendiri mencemari perjanjian, mengkhianati ikatan persahabatan dan perpaduan yang terbina.

Kita lihat pula bagaimana pemaaf, berhemah dan bijaksanaan Rasulullah dalam memaafkan kaum kafir Quraisy yang masih belum memeluk Islam ketika hari pembukaan kota Makkah.

Ketika memasuki kota Makkah bersama bala tenteranya kerana ( kaum Musyrik Quraisy melanggar perjanjian Hudaibiyah), baginda berkata dengan suara yang kuat; “Wahai kaum Quraisy, ini Muhammad datang bukan untuk memerangi, sesiapa yang masuk ke rumah Abi Sufian dia selamat, sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dia selamat dan sesiapa yang memasuki masjid dia selamat”.

Rasulullah berpesan kepada mereka agar tidak membunuh sesiapa kecuali jika berlaku perkara darurat yang dibenarkan. Rasulullah memaafkan penduduk Makkah yang masih belum menganut Islam kecuali beberapa nama yang mengetuai penentangan terhadap negara Islam Madinah. Mereka itu diarah supaya dicari.

Rasulullah tidak mengganggu dan tidak menyerang mereka yang tidak menentang orang Islam. Contohnya gerakan ketenteraan ke Tabuk.

Baginda mendapat berita Kerajaan Rom akan menyerang Kerajaan Islam Madinah. Tetapi apabila sampai di sana, rupa-rupanya tidak ada gerombolan tentera Rom, maka mereka berpatah balik.

Namun demikian, mereka secara tidak langsung berjaya menambat hati penduduk Arab dan Rom yang berada di sempadan dengan adab dan akhlak dalam pergaulan walaupun mereka adalah kumpulan tentera yang besar yang mampu melakukan apa saja.

Kesimpulannya, kesatuan dan perpaduan yang Rasulullah hulurkan kepada golongan bukan Islam dengan tidak menggadai prinsip keimanan kepada Allah SWT serta melakukan kebaikan, dilarang melakukan kejahatan dan kezaliman. Prinsip itu yang diberitahu Jaafar bin Abi Talib kepada Raja Najasyi ketika memohon perlindungan.

Prinsip itu juga yang menjadi isi utama surat Rasulullah kepada Kaisar Rom dan Parsi untuk mengajak mereka kepada keislaman. Tegasnya Rasulullah tidak menggadaikan prinsip di atas apa jua tujuan dan keadaan. Kerana ketegasan mempertahankan prinsip itu adalah tunggak kebolehpercayaan masyarakat kepada Nabi Muhammad SAW

Firman Allah SWT yang bermaksud “Oleh itu, sampaikanlah secara terus terang apa yang diperintahkan kepada mu (wahai Muhammad) dan jangan engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik).

(Surah al-Hijr:94) menggambarkan pendirian Rasulullah SAW. Iaitu perkara yang makruf dikatakan makruf dan apa yang mungkar tetap dicegah.


No comments:

Post a Comment