" Kebajikan Jana Akhirat Bahagia.."

Wednesday, August 26, 2009

"Keadilan, Walau Terhadap Binatang..."

Saat Omar bin Abdul Aziz menjadi khalifah, rata-rata rakyat beliau menggunakan baghal (keldai kecil) sebagai kenderaan untuk mengangkut barang perniagaan. Ada dari kalangan mereka, tidak memberi belas kasihan kepada baghal itu, malah sekadar mengutip keuntungan sahaja dari hasil perniagaan yang melibatkan kepada baghal tersebut.
Keadaan itu diperhatikan oleh Omar bin Abdul Aziz sehingga suatu hari, beliau ada berbual-bual dengan seorang rakyatnya yang menggunakan baghal sebagai kenderaan untuk mengangkut barang perniagaan.

”berapa banyakkah keuntungan yang kamu terhasil dari pernigaan pada hari ini?” omar bertanya.

Pemuda itu menjawab jujur, ”sebanyak tiga dirham”.

”kebiasaan perniagaan kamu, berapa yang kamu dapat?” omar menyambung soalan kedua.

”sebanyak satu dirham sahaja” jawab pemuda itu, ”pada hari ini, agak lumayan sikit, kerana banyak kerja kami lakukan” sambung pemuda sambil melihat kepada baghal, kenderaaan yang mengangkut barang dagangannya.

Omar melihat kepada baghal itu, seraya berkata, ”apakah segala urusan perniagaan kamu menggunakan baghal ini?”. omar bertanya.

”benar wahai amir al-mukminin” jawab pemuda itu ringkas.

”wahai pemuda, sesungguhnya kemampuan baghal ini bekerja untuk mendapatkan hasil sebanyak satu dirham sahaja. Pada hari ini, kamu telah menggandakan berat kerjanya sehingga kamu mencapai keuntungan sebanyak tiga dirham. Bermakna, kamu telah memeras keringatnya tiga kali ganda dari biasa. Tindakan kamu ini tidak patut” omar memberikan nasihat kepada pemuda tersebut.

Pemuda itu tidak berkata apa-apa, malah sekadar menganggukkan kepalanya sahaja dengan mendengar nasihat dari Omar bin Abdul Aziz.

MEMBERIKAN HAK, WALAU TERHADAP BINATANG

Dari kisah yang dinukilkan ini, kita dapat melihat bagaimana pemerintahan Islam yang dipimpin oleh Omar bin Abdul Aziz membuktikan konsep keadilan dengan memberikan hak kepada semua, waimma terhadap binatang.

Diceritakan juga, bahawa Omar bin Abdul Aziz pernah menulis surat kepada Hayyan bin Soreh, iaitu seorang gabenor Islam yang dilantik Omar supaya menjaga negara mesir.

”aku mendapati bahawa di Mesir, unta digunakan untuk mengangkut barang melebihi 1000 kati. Apabila surat ini sampai kepadamu, maka hendaklah penggunaan unta untuk mengangkut barangan tidak melebihi dari 500 kati berat” pesan omar dalam surat yang diutuskan kepada Hayyan.

Jelas, Omar bin Abdul Aziz tidak sekadar memberikan hak keadilan itu kepada rakyatnya sahaja, bahkan hak keadilan itu diberikan kepada binatang tunggangan.

MELAKSANAKAN KEADILAN ADALAH KEWAJIPAN

Islam menitik beratkan perlaksanaan keadilan. Kezaliman merupakan perkara yang ditentang hebat oleh islam. Allah yang maha berkuasa pun telah mengharamkan terhadap dirinya daripada melakukan sebarang kezaliman, inikan pula manusia yang tidak mempunyai sebarang kuasa berbanding Allah.

Sabda Nabi SAW bahawa Allah SWT berfirman dalam hadis Qudsi;

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا

Maksudnya;
”Wahai hambaku, Sesungguhnya aku haramkan kezaliman terhadap diriku. Dan aku jadikannya haram dikalangan kamu. Justeru, jangan sekali-kali kamu melakukan kezaliman[1]

Dalam islam, maksud keadilan adalah memberikan sesuatu hak kepada mereka yang berhak. Apabila sesuatu hak tidak diberikan kepada mereka yang berhak, maka tindakan sebegitu dikenali sebagai zalim.

Keadilan yang diperjuangkan islam, tidak sekadar sesama muslim, malah terhadap non Muslim pun, keadilan terhadap mereka dituntut supaya dilakukan.

Tindakan melakukan kezaliman terhadap non Muslim sehingga sanggup membunuh mereka, ia adalah perkara yang diharamkan dalam Islam, malah azabnya sangat hebat.

Sabda Nabi SAW;

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

Maksudnya;
“Barangsiapa yang membunuh ahli zimmah, pasti dia tidak akan mendapat bauan syurga, waimma bau syurga itu boleh di capai sejauh perjalanan 40 tahun[2]

Masakan membunuh, menzalimi mereka amat dibenci oleh Nabi SAW sehingga sampai satu tahap, nabi SAW bersabda;

أَلَا مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya;
“Ketahuilah, barangsiapa yang menzalimi ahli zimmah, atau mengkurangkan haknya, atau memberatkan bebanan terhadap mereka melebihi dari kemampuan mereka, atau mengambil sesuatu perkara dari mereka tanpa dengan cara yang baik, sesungguhnya aku akan berhujjah dengannya pada hari kiamat nanti[3]

Keadilan yang dinukilkan ini, merupakan keadilan yang wajib dilaksanakan kepada manusia, waimma terhadap non muslim. Disamping itu, keadilan yang dituntut dalam Islam, tidak sekadar terhadap manusia, malah terhadap binatang pun, hak keadilan perlu ditunaikan.

Perkara ini dapat dilihat menerusi kisah Omar bin Abdul Aziz yang dikemukakan ini.

~Al-Bakistani~



No comments:

Post a Comment