" Kebajikan Jana Akhirat Bahagia.."

Friday, July 24, 2009

"Matahari Menangisi Penderhakaan Penghuni Bumi Terhadap Allah SWT.."

Gerhana matahari yang menyelubungi sebahagian mukabumi pada Rabu (22 Julai) dihitung sebagai yang paling lama dalam abad ini. Ia dapat dilihat secara maksimum selama enam minit dan 39 saat di beberapa bahagian dunia, terutama sekitar India, China dan Jepun.Menurut rekod pakar kaji bintang, kali terakhir berlakunya gerhana penuh sebelum ini ialah pada Ogos 2008. Kejadian itu dapat dilihat selama dua minit dan 27 saat.

Ada pun di rantau sekitar negara kita gerhana matahari yang berlaku kali ini hanya separa dan dapat dilihat secara minimum sahaja. Ia memang sukar dicerap dengan mata kasar memandangkan hanya tidak sampai 18 peratus permukaan matahari dilindungi bulan. Sementara penduduk dunia lebih cenderung membicarakan gerhana matahari sebagai fenomena astronomi dan keganjilan alam, agama Islam pula mengajar umatnya menjadikan kejadian yang amat jarang berlaku itu sebagai peluang manusia mengagumi qudrat (kekuasaan) dan iradat (kehendak) Yang Maha Menjadikan.

Di dalam al-Quran, Allah Ta'ala beberapa kali menyebut tentang kekuasaannya ke atas kejadian langit, bumi dan apa juga yang ada di antara kedua-duanya. Tidak ada seinci pun dari alam cakerawala ini yang bebas dari jajahan takluk Allah, termasuk bulan, bintang dan matahari. Al-Quran juga memperincikan tabiat bulan dan matahari yang masing-masing beredar di atas paksi tersendiri. Kedua-dua makhluk itu tunduk dan patuh kepada ketentuan Allah. Antaranya sebagaimana firmanNya dalam Surah Yaasin 36: 38-40:

Dalam mengagumi kekuasaan Tuhan ini, penulis teringat satu ceramah agama yang secara tidak langsung menyentuh soal matahari. Ustaz yang memberikan ceramah menghuraikan ayat berhubung tanda-tanda kekuasaan Allah ke atas penciptaan langit, bumi, bulan, bintang dan matahari. Katanya, dengan qudrat dan iradat Allah, matahari mengelilingi bumi tanpa henti. Namun ada ketikanya matahari mengadu kepada Allah Ta'ala. Sebagai makhluk yang tunduk patuh tanpa engkar kepada Tuhan, matahari "menangis" dan meminta izin Allah Ta'ala untuk tidak lagi terus menyinari bumi. Ia sangat kecewa dan merasa seolah-olah nikmat cahaya yang dipancarkannya tanpa jemu kepada penghuni bumi telah tidak dihargai apabila penghuni bumi tetap kufur dan derhaka terhadap Alah Ta'ala. Namun permintaan matahari itu tidak diizinkan Allah. Dia sebaliknya menegaskan kepada matahari, "kamu sempurnakanlah tugas kamu (terus beredar dan bersinar). Ada pun soal keengkaran dan penderhakaan penghuni bumi itu, biarlah Aku menanganinya dengan cara lain."

Moral cerita ini amat dalam. Ia antara lain mengajar kita bahawa di dalam melaksanakan suruhan dan larangan Allah, kita makhluk mesti menunjukkan ketaatan mutlak. Meskipun suruhan Tuhan itu bertentangan dengan pendapat atau nilaian kita, itu bukan pilihan untuk kita tinggalkan apa yang telah diarahkan Allah Ta'ala. Dari sudut pandang berbeza, jika gerhana matahari itu boleh diistilahkan sebagai "matahari menangis", maka menjadi tanggungjawab kita manusia membahasakan sebab-musabab tindakan matahari itu. Untuk itu kejadian gerhana matahari wajar dijadikan peringatan agar kita tidak terus engkar dan derhaka terhadap Rabbil Alamin.

Mat Zain Mat Isa~harakahdaily

No comments:

Post a Comment