" Kebajikan Jana Akhirat Bahagia.."

Monday, June 15, 2009

Kenali BAKKEM

Pepatah ada menyatakan ‘tak kenal maka tak cinta’. Oleh kerana itu pihak pentadbiran BAKKEM merasa bertanggungjawab untuk memperkenalkan badan kebajikan ini kepada seluruh umat Islam supaya dapat bersama-sama dengan pertubuhan ini untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan kepada masyarakat Islam terutamanya golongan yang memerlukan.

Fakta-fakta tentang BAKKEM akan dikemukakan dalam ruangan ini untuk menjelaskan perjuangan pertubuhan ini ke arah mencari keredaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Sejarah Penubuhan

Badan Kebajikan Keluarga Marwan Temerloh, Pahang atau nama singkatannya BAKKEM telah ditubuhkan pada 31 Mei 2008 bersamaan 25 Jamadil Awwal 1429 Hijrah. Persetujuan untuk menubuhkan pertubuhan ini telah dicapai di dalam mesyuarat berkaitan harta pusaka Allahyarham Tuan Haji Mamat @ Mohamad Bin Abdul Rahman pada 27 April 2008. Di dalam mesyuarat tersebut semua waris Allahyarham yang hadir telah bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan pertubuhan ini setelah dibentangkan dan dibincangkan kertas kerja bertajuk Cadangan Penubuhan Yayasan Kebajikan yang mengandungi objektif serta perkara-perkara berkaitan.


Sebelum pertubuhan ini ditubuhkan, terlebih dahulu diadakan rundingan dengan pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Negeri Pahang untuk mendapatkan panduan serta nasihat bagi memudahkan urusan penubuhan dan pendaftaran dijalankan. Selepas rundingan tersebut satu perkara penting telah dikenalpasti mesti diubah iaitu penggunaan nama ‘Yayasan’ yang kemudiannya dipersetujui ditukarkan menjadi ‘Badan’.

Mesyuarat Penubuhan

Pada 31 Mei 2008 Mesyuarat Penubuhan Pertubuhan diadakan dengan dihadiri oleh 9 daripada 13 orang ahli-ahli keluarga Allahyarham Tuan Haji Mamat Bin Abdul Rahman yang telah bersetuju untuk menubuhkan pertubuhan ini. Mesyuarat ini telah meluluskan beberapa perkara termasuk nama pertubuhan, Jawatankuasa Penaja serta perlembagaan.

Nama yang diluluskan di dalam mesyuarat ini ialah Badan Kebajikan Bilal. Mesyuarat dimaklumkan bahawa nama ini akan dirujuk kepada ROS sama ada boleh diteruskan atau sebaliknya. Jika tidak dibenarkan, nama lain akan dikemukakan sehingga diluluskan oleh ROS.

Mesyuarat juga meluluskan undang-undang tubuh atau perlembagaan yang akan menjadi rujukan pertubuhan ini. Perlembagaan ini juga dirujuk kepada ROS dan akan diperbetulkan atau dipinda jika perlu sebagaimana yang dikehendaki. Di dalam perlembagaan ini dinyatakan bahawa keahlian sebagai Ahli Biasa terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang beragama Islam. Manakala keahlian Ahli Bersekutu dibuka untuk ahli keluarga Ahli Biasa.

No comments:

Post a Comment